Friday, November 02, 2012

Mawlid Bulanan: Perjalanan Mencari Cinta

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kepada diriku ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang 'abid sehingga ke hari ini.

Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW kekasih Allah, juga terhadap ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda yang telah bersusah payah berjuang menyampaikan risalah Islam kepada seluruh ummat manusia di atas muka bumi ini.

Perghh..tajuk nak kontroversi je..haha

Ok, saat ini, semua penuntut diploma UiTM sedang menikmati cuti di rumah masing-masing. Tapi bagi diriku, kalau duduk rumah tak buat apa baik keluar cari sesuatu yang boleh isi jiwa yang kosong ini.

Bak kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato Saifuddin Abdullah menulis di dalam akaun facebooknya ; mahasiswa/belia kalau cuti, lazimnya buat "4T" : tidur, tv, ternak (ternak lemak = makan) & tenet (internet)



Maka tersenyumlah mahasiswa atau belia yang mengenangkan aktiviti mereka sewaktu cuti adalah sama seperti yang disebutkan di atas.  Saya pun antara nya. =)

Ok. Waktu cuti antara perkara bermanfaat yang saya buat ialah menghadiri majlis Mawlid Bulanan yang dianjurkan Darul Murtadza. Majlis ini dijalankan di Masjid Muaz Bin Jabal di Setiawangsa. Ini adalah pertama kali saya menghadirkan diri kerana perasaan membuak-buak dalam hati ini ingin tahu apa yang ada dalam majlis ini kerana saya tahu ada kelainan di dalamnya.

Secara ringkasnya, majlis Mawlid Bulanan diadakan pada setiap JUMAAT pertama setiap bulan. Kelainan dalam majlis ini, akan dilagukan qasidah-qasidah memuji serta berselawat ke atas Rasulullah SAW dan rata-rata yang hadir berpakaian putih (jubah/kurta/kopiah/serban) kerana mungkin bagi saya untuk lebih penghayatan mengingati Rasulullah SAW.

Majlis dimulakan dengan qasidah. Artis seperti Amer Munawwer (ex-Ruffedge) dan Inteam turut serta dalam mengalunkan qasidah ini. Lama jugak lah tempoh mereka berqasidah. Mula jam 9 malam hingga 10.30 malam. Macam-macam qasidah mereka alunkan dan alhamdulillah hati ini masih lembut hingga memberi kesan pada mata. :'(

Dalam waktu mereka berqasidah, pada satu tempoh akan berdirinya mereka dan para hadirin. Waktu itu, seingat saya mereka melagukan qasidah Thola'al Badru 'alaina dan ada upacara mentahnik anak-anak kecil.

Kemudian, habis sahaja mentahnik, qasidah diteruskan sehinggalah jam 10.30 malam. Majlis diteruskan lagi dengan tausiyah yang disampaikan oleh Al Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid. 

Beliau membacakan beberapa potong hadis mengenai Rasulullah SAW berkaitan dengan solat malam. Antara pengisian yang saya peroleh ialah :


Ketika Ummu Salamah, isteri Rasulullah SAW ditanya oleh para sahabat tentang bagaimanakah cara Rasulullah SAW menunaikan solat malam (qiyamullail)?

Ummu Salamah menjawab, "Bagaimana aku hendak beritahu kamu tentang macam mana Rasulullah SAW melakukan solat malam sedangkan nescaya engkau pun tidak mampu untuk melakukannya."


Beliau menyambung lagi, "Baginda solat kemudian tidur selama mana Baginda solat. Kemudian, Baginda bangkit dari tidur dan solat selama mana Baginda tidur. Kemudian, Baginda tidur selama mana Baginda solat dan begitulah sehingga hari siang."


Bermakna, andai solat Rasulullah SAW itu setengah jam, tidurnya juga ialah setengah jam. Begitulah yang dikatakan oleh Al Habib. Al Habib menambah lagi, tidur itu ialah antara nikmat dari Allah SWT tanda kebesaran-NYA. Sebagai tanda bersyukur atas nikmat tidur malam, Rasulullah SAW solat selama mana Baginda tidur.

Allahurabbi. Timbul persoalan dalam diri kita semua, sebanyak manakah aku telah mensyukuri nikmat pemberian Allah SWT kepadaku?

Nikmat yang diberikan tidak terhitung. Kita ingkar dengan perintah Allah SWT, Allah SWT masih lagi memberikan nikmat kepada kita.

Astaghfirullahal 'adzim.

Sahabat-sahabat yang dikasihi Allah SWT sekalian,

Lazimilah diri kita ini dalam menzahirkan rasa syukur di atas segala nikmat pemberian yang diberikan oleh Allah SWT kepada diri kita dengan beribadah melakukan segala suruhan-NYA dan menjauhi segala larangan-NYA.

Wallahu'alam.

No comments:

Post a Comment