Monday, October 22, 2012

Sedarlah dari tidur

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Salam sejahtera.

Alhamdulillah, Allah SWT masih memberikan kepada diriku ruang dan peluang untuk meneruskan kehidupan sebagai seorang 'abid sehingga ke hari ini.


Selawat dan salam ke atas junjungan besar Baginda Nabi Muhammad SAW kekasih Allah, juga terhadap ahli keluarga serta sahabat-sahabat Baginda yang telah bersusah payah berjuang menyampaikan risalah Islam kepada seluruh ummat manusia di atas muka bumi ini.


Hampir setahun berlalu, kini baru aku terniat untuk menaip semula di blog yang sudah 'bersawang' setelah sekian lamaku tinggalkan. Sepanjang tempoh itu, banyak yang kulalui dalam hidupku.


Kata Saidina Ali karamallahu wajhah,
"Manusia itu sewaktu hidupnya di dunia dia tidur, Bila mati barulah mereka terjaga."


Maksudnya di sini, manusia itu sepanjang hayatnya di dunia, mereka lalai dan leka dengan perkara duniawi dan setelah malaikat Izrail datang kepadanya untuk dicabut nyawa, maka ketika itulah baru mereka sedar akan perkara yang sebenar bahawa dunia ini hanya sementara sahaja tetapi akhirat kekal selamanya.


Semasa di dunia, lazimnya manusia melakukan perkara-perkara yang dimurkai Allah SWT dan manusia ini tidak tahu bersyukur atas segala pemberian nikmat kepadanya secara percuma. Mereka lalai dan leka dengan menyibukkan diri dengan perkara duniawi daripada menyahut seruan Ilahi. Seandainya mereka benar-benar percaya akan hari kebangkitan kelak, nescaya mereka akan taat dan patuh kepada perintah Allah SWT


Dalam surah as-Sajdah, ayat 13

A012

Maksudnya : Dan (sungguh ngeri) sekiranya engkau melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhan mereka (dalam keadaan malu dan hina, sambil merayu): "Wahai Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar dengan sejelas-jelasnya (akan segala yang kami ingkari dahulu); maka kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin"


Pada waktu itu, kita janganlah kita merasa kesal di atas kehidupan kita di dunia kerana tidak mengabdikan diri kepada Allah SWT. Pada saat itu, sudah terlambat bagi kita untuk kita katakan "kembalikanlah kami ke dunia supaya kami mengerjakan amal-amal yang baik; sesungguhnya kami sekarang telah yakin" kerana Allah SWT telah menyediakan azab yang pedih untuk orang-orang yang ingkar akan suruhan-Nya. Mana mungkin Allah SWT akan kembalikan kita ke dunia semula untuk melakukan amal soleh.


Oleh itu, sahabat-sahabat yang dikasihi Allah SWT sekalian, masih belum terlambat untuk kita kembali kepada Allah SWT. Marilah sama-sama kita muhasabah diri dan perbanyakkan amal soleh, sentiasa beristighfar, taubat dan carilah teman-teman yang mampu membawa kalian ke arah kebaikan. Berdampinglah dengan mereka.


P/S : Peringatan untuk diri sendiri juga ='(

No comments:

Post a Comment